UNDANG-UNDANG


 UNDANG-UNDANG
PERSATUAN BEKAS PELAJAR SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PEKAN BARU, MUAR, JOHOR

fasal 1 : Nama

         Pertubuhan ini dikenali dengan nama PERSATUAN BEKAS PELAJAR Sekolah Menengah KEBANGSAAN Pekan Baru, Muar, Johor. Selepas ini disebut ‘Pertubuhan’


fasal 2 : Alamat

1.     Alamat tempat urusan ialah  POS 14, KAMPUNG SUNGAI MUDA LAUT, 83610 SEMERAH,BATU PAHAT, JOHOR.
2.    Dan alamat surat menyurat ialah POS 14, KAMPUNG SUNGAI MUDA LAUT, 
      83610 SEMERAH,BATU PAHAT, JOHOR.
3.  Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar  Pertubuhan terlebih dahulu.

fasal 3 : Tujuan / Matlamat

Tujuan  Persatuan ialah :
1.  Menyatukan bekas pelajar dengan guru-guru,pengurusan serta yang masih menuntut dan berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Baru, Muar Johor.
2. Merapatkan hubungan dan kerjasama antara ahli bekas pelajar  Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Baru, Muar, Johor dengan pihak pengurusan  Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Baru, Muar, Johor.
4. Mengadakan aktiviti kemasyarakatan,kebajikan,ekonomi,kebudayaan,pelajaran, sosial dan rekreasi.
5.   Menjadi penghubung diantara penuntut dan pengajar dengan pihak kerajaan, agensi swasta dan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit.

fasal 4 : Keahlian

1.   Keahlian  pertubuhan  ini terbuka kepada pelajar  yang   pernah  bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Baru, Muar, Johor.

2.     Keahlian pertubuhan  adalah seperti berikut :

Ahli Biasa
a)     Bersetuju mematuhi  syarat-syarat keahlian serta undang-undang pertubuhan  ini .
b)     Bertanggungjawab menjaga dan menaikkan nama pertubuhan dengan ;
i. Mengambil  bahagian di dalam semua mesyuarat agung pertubuhan.
ii.Mengundi  dalam semua  perkara di dalam mesyuarat pertubuhan.
iii.Menyertai dan mengambil bahagian dalam semua aktiviti yang diadakan.

3.  Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh ahli dan  dihantar kepada  setiausaha yang dikehendaki  mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budi bicaranya menolak sebarang  permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

            4.    Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas,                            hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran pertama seperti yang                                              ditetapkan diterima menjadi  ahli pertubuhan dan berhaklah sebagai ahli.

fasal 5 : Sumber kewangan

          Sumber kewangan pertubuhan ini adalah daripada :

1.       Bayaran masuk : RM 10.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh Sahaja)

2.       Yuran :
a)    Yuran tahunan RM 12.00 ( Ringgit Malaysia Dua Belas Sahaja )
b)   Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada bendahari  terlebih dahulu dalam tempoh  10 hari dari awal tiap-tiap tahun.                 
c)   Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada 3 bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangani  oleh atau wakil setiausaha, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.
d)  Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi 1 tahun dengan    sendirinya terhenti daripada menjadi ahli pertubuhan dan jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuas hati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.
e)   Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.
f)   Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti  hutang yuran bulanan.

3.      Sumbangan :
Pertubuhan ini dibenarkan untuk menerima sumbangan dalam apa-apa bentuk dan sumbangan yang  diterima hendaklah diisytiharkan  dalam Penyata Tahunan Pertubuhan.

4.      Kutipan Derma

Pertubuhan boleh membuat kutipan derma dari orang ramai dengan syarat pengesahan daripada Pendaftar Pertubuhan dan kebenaran daripada pihak berkuasa berkenaan diperolehi terlebih dahulu.

5.       Perniagaan

Pertubuhan ini boleh menjalankan kegiatan ekonomi seperti menjual, membeli, melabur, menyewa, memiliki harta alih dan tak alih dan lain-lain kegiatan ekonomi. Semua wang dan keuntungan yang didapati oleh pertubuhan ini akan digunakan semata-mata untuk melanjutkan, memajukan dan menjalankan tujuan pertubuhan dan tiada sebahagian pun daripada wang atau keuntungan tersebut boleh digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada mana-mana ahlinya. Sungguhpun begitu peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang dibuat dengan tujuan baik seperti untuk membayar gaji atau perbelanjaan atau kedua-duanya kepada sebarang ahli atau pekerja pertubuhan ini .

 fasal 6 : Pemberhentian dan pemecatan ahli


1.    Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli pertubuhan hendaklah memberi  kenyataan bertulis 2 minggu terlebih dahulu kepada setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.
2.  Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang pertubuhan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik pertubuhan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh  jawatankuasa. Sebelum jawatankuasa memecat atau menggantung keahlian ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

fasal 7 : Mesyuarat agung

1.   Mesyuarat agung akan diadakan 2 tahun sekali dan akan terus membuat pemilihan untuk jawatankuasa yang baru.Pengelolaan pertubuhan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perempat  ¼ daripada  jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung  bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

2.   Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada satu tarikh tidak lebih daripada 30 hari yang ditetapkan oleh jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi  tidaklah berkuasa meminda undang-undang  Pertubuhan.

3.    Mesyuarat Agung Tahunan bagi pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kedua kewangan tetapi tidak lewat daripada 31hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh jawatankuasa. Kerja-kerja mesyuarat agung dwitahunan ialah:
a)   menerima laporan jawatankuasa berkenaan perjalanan pertubuhan bagi dua tahun lalu;
 b)  menerima laporan bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi dua tahun yang lalu;
a)    memilih ahli-ahli jawatankuasa dan melantik pemeriksa kira-kira untuk dua (2) tahun yang akan datang; dan
d)  menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan dalam mesyuarat itu.

4. Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan pertubuhan.          

5.   Mesyuarat  Agung Khas bagi pertubuhan ini boleh diadakan :
        a)  bila difikirkan mustahak oleh jawatankuasa ; atau
b)  atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu 1/5 dari      jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada setiausaha pertubuhan.

6.   Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh dalam  tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.        

7.   Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu  hendaklah diedarkan oleh   setiausaha
kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

8.  Fasal 7(1) dan 7(2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh  digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu, maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung  Khas  atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah  boleh diadakan.

9.  Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan minit tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.

fasal 8 : Jawatankuasa

1.    Satu jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Pertubuhan hendaklah dipilih di dalam mesyuarat agung dwitahunan:

Seorang Pengerusi
Seorang Timbalan Pengerusi
Seorang Setiausaha
Seorang Penolong Setiausaha
Seorang Bendahari
Seorang Penolong Bendahari
8 orang Ahli Jawatankuasa Biasa.

2.     Pemegang-pemegang jawatan pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam pertubuhan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.

3.  Nama-nama untuk jawatan- jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan 2 tahun sekali. Tempoh memegang jawatan bagi pegawai yang dipilih adalah berdasarkan undian majoriti.

4.    Fungsi  jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Dwitahunan.


5.    Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Notis bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli jawatankuasa 7 hari terlebih dahulu. Pengerusi dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 5  orang ahli jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan  mencukupkan korum mesyuarat.

6.    Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan jawatankuasa dan mesyuarat jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

a)  Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli jawatankuasa;
b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli jawatankuasa mestilah menyatakan  persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan
c)    Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh setiausaha kepada mesyuarat jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan dalam minit mesyuarat.

7.   Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa   alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan dalam jawatankuasa .

8.   Apabila sesuatu jawatankuasa persatuan menjadi kosong disebabkan oleh pembercutian atau   pemecatan, mesyuarat jawatankuasa berhak melantik seseorang yang lain bagi memenuhi kekosongan jawatankuasa tersebut.

9.   Jawatankuasa boleh memberi  arahan kepada setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan pertubuhan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkan mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, ingkar menjalankan keputusan jawatankuasa, atau kerana  sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan pertubuhan.

10. Jawatankuasa boleh menubuhkan jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli jawatankuasa.

11.  Jawatankuasa sebelumnya hendaklah menyerahkan semua dokumen yang berkaitan dengan  pertubuhan kepada Jawatankuasa  yang baru dipilih, namun masih dipertanggungjawabkan jika ada kesilapan, kerosakan, dan kehilangan semua rekod atau dokumen tersebut

fasal 9 : Kewajipan-kewajipan pegawai

1.       Pengerusi

a)    Menjadi  Pengerusi dalam semua mesyuarat kecuali di dalam Mesyuarat Agung Dwi                                  Tahunan.
b)    Ia berhak memberi keputusan kepada bilangan yang sama.
c)      Ia menyaksikan dan menandatangani tanda pengesahan wang daripada  Bendahari kepada Pemegang Amanah.
d)      Ia akan menandatangani minit mesyuarat apabila telah disahkan.
e)      Menjaga dan mentadbir hal ehwal perjalanan persatuan ini.

2.       Timbalan Pengerusi

a)      Menggantikan tugas  Pengerusi semasa ketiadaannya.

3.       Setiausaha

a)  Ia akan mengelolakan urusan-urusan dan kerja-kerja persatuan.
b)  Ia akan bertanggungjawab mengutus surat-surat persatuan yang ditentukan oleh                                      Jawatankuasa.
c)  Ia akan hadir di dalam semua mesyuarat dan menulis semua minit mesyuarat.
d) Menyediakan minit Mesyuarat Agung Dwi Tahunan dan membentangkan di dalam Mesyuarat  jawatankuasa pertama. Minit ini hendaklah diterima oleh jawatankuasa untuk dibentangkan di dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan.
e)   Seperti  Fasal 3 adalah menjadi rujukan utama.
f)   Menyimpan buku-buku daftar ahli-ahli persatuan serta butir-butir mengenai semua No. Pendaftaran, Nama Alumni, Ahli Jawatankuasa dan sebagainya yang diperlukan.

4.       Penolong Setiausaha

a)     Ia akan menolong setiausaha di dalam menjalankan semua urusan dan kerja-kerja serta menggantikan tempat setiausaha apabila ketiadaannya.

5.       Bendahari

a)  Bertanggungjawab mengenai hal kewangan Alumni dan segala buku-buku berkaitan kewangan.
b)   Membentangkan Penyata Kewangan Alumni pada setiap kali mesyuarat  jawatankuasa. Penyata ini hendaklah diterima oleh jawatankuasa bagi dibentangkan dan diluluskan  dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan.
c)    Menyimpan segala kira-kira perbelanjaan persatuan, resit-resit dan menyediakan segala penyata berkenaan pada bila-bila masa yang dikehendaki.

6.       Penolong Bendahari

              a)          Ia akan menolong bendahari serta menggantikan bendahari apabila ketiadaannya.

7.       Jawatankuasa

a)     Bertanggungjawab di atas kemajuan semua mesyuarat.
b)     Hendaklah hadir dalam  setiap mesyuarat.
c)  Jika seseorang AJK tidak dapat hadir di dalam mesyuarat hendaklah memaklumkan secara bersurat kepada setiausaha dengan alasan munasabah.
d)  Jika seseorang AJK tidak dapat hadir dalam 3 kali mesyuarat tanpa mengemukakan alasan munasabah, ianya dengan persetujuan jawatankuasa boleh dipecat atau dilucutkan jawatannya.
e)   Adalah menjadi tanggungjawab jawatankuasa untuk menepati masa menunaikan sebarang panggilan mesyuarat.
f)    Mereka hendaklah  dilantik menjadi Pengerusi / AJK  untuk sesi / biro jawatankuasa                                  yang dibentuk.

fasal 10 : Kewangan

1.  Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan pertubuhan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh  Mahkamah.

2.  Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dalam tempoh 7 hari dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh jawatankuasa.  Akaun bank itu hendaklah di atas nama Pertubuhan.

3. Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari akaun Pertubuhan hendaklah ditandatangani bersama oleh pengerusi, setiausaha dan bendahari. Semasa ketiadaan pengerusi, setiausaha atau  bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang pertubuhan

4.  Perbelanjaan RM 10 000.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh Ribu sahaja) dan ke bawah bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh pengerusi bersama setiausaha dan bendahari.
Perbelanjaan yang lebih daripada RM 10 000.00 ( Ringgit Malaysia Sepuluh Ribu sahaja ) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh jawatankuasa. Perbelanjaan yang lebih daripada RM 50 000.00 (Ringgit Malaysia Lima puluh Ribu sahaja ) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu.

5.    Penyata kewangan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh bendahari dan diperiksa oleh pemeriksa kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 11 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kewangan dan kunci kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Dwi Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan pertubuhan.

6.  Tahun kewangan pertubuhan ini bermula dari  01hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.

fasal 11 : Pemeriksa kira-kira

1.  Dua orang yang bukannya pegawai pertubuhan hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai pemeriksa kira-kira.Mereka akan memegang jawatan selama dua tahun dan boleh dilantik semula.

2.   Pemeriksa kira-kira adalah dikehendaki memeriksa penyata kewangan dan kunci kira-kira pertubuhan  dan membuat laporan atau pengesahan untuk mesyuarat agung. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada jawatankuasa.

FASAL 12 : HARTA

1.    Harta yang tidak boleh dialih bagi pertubuhan hendaklah didaftar atas nama pertubuhan dan segala surat cara yang berkaitan dengan harta itu adalah sah dan berkuasa seolah-olah suratcara itu telah disempurnakan oleh seorang tuan punya berdaftar dengan syarat bahawa suratcara itu disempurnakan oleh tiga orang pemegang jawatan pertubuhan ini yang terdiri daripada pengerusi, setiausaha dan bendahari yang ada pada masa itu dan perlantikan mereka adalah disahkan oleh satu perakuan daripada Pendaftar Pertubuhan dan dimeterikan dengan meteri pertubuhan.

2.    Segala hak milik pertubuhan tidak boleh dijual, ditarik balik atau dipindah hak milik dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Pertubuhan.

FASAL 13 : TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

1.  Di antara berlangsungnya mesyuarat jawatankuasa boleh memberikan tafsiran undang-undang ini  dan jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak jelas di dalam undang-undang ini.

2.  Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam messyuarat jawatankuas, keputusan jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat jawatankuasa.

FASAL 14 : PENAUNG / PENASIHAT

Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik  orang-orang yang layak menjadi penasihat / penaung bagi pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.

FASAL 15 : LARANGAN

1.    Sebarang bentuk perjudian seperti yang ditafsirkan dalam Akta Rumah Judi Terbuka, 1953 adalah dilarang dimainkan di premis pertubuhan.

2.  Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959.

3.   Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri  sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama pertubuhan atau pegawai-pegawai atau jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.

4.  “Faedah” seperti  yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1996, tidaklah boleh diberikan oleh pertubuhan kepada mana-mana ahlinya.

5.    Persatuan penganut tidak dibenarkan mentadbir rumah ibadat.

FASAL 16 : PINDAAN UNDANG-UNDANG

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan. Permohonan untuk pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan meluluskan pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

FASAL 17 : PEMBUBARAN

1.   Persatuan Sekolah Menengah Pekan Baru, Muar, Johor ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.

2.  Sekiranya Persatuan Sekolah Menengah Pekan Baru, Muar, Johor  hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan pertubuhan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

3.    Permohonan pembubaran ini hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan pembubaran itu.

No comments:

Post a Comment